Entri 18
Assalamualaikum wbt.
Entri hari ini saya nak kongsikan pengalaman saya menyusukan anak saya 100% susu badan sehingga 2 tahun. Bermula anak saya 2 tahun barulah saya campur dengan susu kambing segar (bukan susu tepung) tapi dalam masa yang sama masih menyusu badan. Sehinggalah anak saya 2 tahun 6 bulan barulah saya wean-off memandangkan saya hamil. Itu pun terpaksa diberhentikan. Saya merupakan wanita bekerja, tetapi Alhamdulillah mampu lakukan. Bukan mudah ye. Banyak sangat cabarannya. Inikan pula para surirumah, jauh lebih mampu kan?
Ok jom baca tips di bawah:
1. Sentiasa berfikir bahawa hanya susu ibu yang terbaik untuk anak . Semua ibu boleh dan mampu menyusukan bayinya. Dan bayangkan tiada susu didunia ini melainkan susu ibu sahaja.
2. Jangan sesekali terpengaruh dengan kata-kata "anda tiada susu", "saya tak cukup susu", "susu saya cair", susu saya sikit" dan sebagainya. Ini semua adalah pengaruh psikologi yang berbahaya yang boleh menghentikan penghasilan susu oleh otak kita. Jika kita mampu melahirkan seorang bayi kedunia, maka kita boleh menyusukannya cuma kita perlu belajar hingga berjaya dan minta bantuan mereka yang mahir dalam penyusuan. Ingat, bukan semua pakar perubatan tahu dan mahir tentang susu ibu. Jangan dapatkan nasihat yang salah.
3. Sokongan positif dari orang sekeliling.
4. Kemahuan yang tinggi dan tidak putus asa.
5. Tingkatkan ilmu dan belajar dari mereka yang berjaya menyusukan. Jangan malu bertanya.
6. Perlu tahu, untuk minggu-minggu pertama kelahiran, susu ibu tidak keluar tetapi bayi perlu melekap dengan kuat pada niple untuk merangsang hasilan susu. Semakin kerap bayi menghisap maka susu akan terhasil sedikit demi sedikit. Jika gagal, jangan terus mengalah dengan memberi susu industri (susu formula) pada bayi kerana ini akan menyebabkan penyesalan di kemudian hari. Ibu perlu belajar menyusukan dan belajar hingga berjaya.
7. Semua masalah yang berlaku semasa penyusuan, ada jalan penyelesaiannya.
8. Jangan malu minta bantuan jika gagal menyusukan bayi kerana anak yang kurang mendapat susu ibu akan memiliki tulang dan saraf yang kurang kuat.
9. Jangan sesekali memikirkan "susu saya sedikit" kerana banyak atau sikitnya susu tidak boleh diukur pada hasil perahan susu dan terasa kosong pada payudara tetapi ibu perlu beri bayi menyusu dengan kerap. Jangan tunggu payudara penuh baru nak beri susu. Ini adalah salah. Beri dahulu baru susu akan keluar kemudian. Kerap juga berlaku, setelah lama bayi menghisap payudara yang ibu rasa kosong, barulah susu akan keluar. Ini dinamakan “pancutan refleks” atau “refleks oxitocin”.
10. Kerap ah bersama bayi. Jangan suka meninggalkan bayi terlalu lama (lebih 4 jam setiap hari) kerana perbuatan ini akan menyebabkan saraf payudara yang tidak mendapat ransangan dari mulut bayi akan menghantar isyarat ke otak bahawa susu tak perlu dikeluarkan. Lama kelamaan susu akan semakin berkurangan. Walaubagaimana sibuk pun anda, carilah peluang secepat mungkin untuk mendapatkan bayi anda dan susuilah dia sekerap-kerapnya. Ingatlah, masa kecil anak hanya sekali sahaja. Inilah masanya kita perlu bersamanya selalu. Jangan biarkan orang lain mengambil alih kasih sayang yang sepatutnya kita beri pada dia. Wujudkan sifat penyayang dalam diri barulah susu mudah untuk dihasilkan.
11. Yang mengeluarkan susu adalah otak, payudara hanya alat sahaja. Jika kemahuan kita kuat disertai dengan usaha yang betul, maka kita akan berjaya.
12. Mulut bayi adalah perangsang terbaik untuk hasilkan susu bukannya produk kesihatan di pasaran. Semakin kerap bayi menghisap (terutama waktu malam) maka susu akan terhasil. Sekalipun pada awalnya kita merasakan seolah2 ‘tiada susu’.
13. Penyusuan badan bukan sahaja memberi zat nutrisi kepada bayi tetapi lebih dari itu iaitu kasih sayang, sentuhan, belaian, belahan dua jiwa dan ubat penenang bagi bayi. Adakah anda mahu melepaskan saat berharga ini??
14. Walau apapun masalah yang terjadi semasa penyusuan jangan sesekali mengalah sebaliknya terus mendapatkan sokongan dari pihak yang berpengalaman. Seandainya terasa susu mula kering, jangan terus anggap susu kita kering kerana susu ibu boleh ada semula jika kita kerap menyuruh bayi menghisap nipple. Teruskan sahaja penyusuan sekalipun terasa susu kering kerana susu mampu bertambah semula. Hisapan bayi pada nipple ibu akan menghantar isyarat ke otak dan mengatakan bahawa susu perlu dikeluarkan. Tidak lama kemudian anda akan dapati susu akan ada semula. Ajaibkan??
15. Dari awal kelahiran bayi hingga bayi berusia 6 bulan, ia adalah proses bagi ibu untuk menyesuaikan diri dalam penyusuan badan. Ibu bukan akan terus berjaya sebaliknya ia adalah proses belajar. Teruskan sahaja penyusuan hingga berjaya. Kebiasaannya setelah bayi berusia 6 bulan barulah keadaan akan stabil dan segala masalah akan mula difahami dan mudah diatasi.
16. Jangan sesekali menyamakan susu ibu dgn susu formula. Ia 100% tidak sama. Setitik susu ibu mengandungi berjuta sel darah putih yang mampu membantu bayi melawan jangkitan kuman. Sekalipun sesetengah ibu merasakan susunya sedikit tetapi setitik ia sangat berharga.
17. Dalam Islam Penyusuan badan mampu melahirkan generasi bertakwa. Malah ia adalah perintah dari Allah SWT (surah al-Baqarah ayat 233). Ia adalah hak anak yang wajib diberi. Jika ibu tidak mampu memberinya maka ibu wajib mencarikan ibu susuan.
Semoga ibu-ibu cekal dan kental dalam menghadapi cabaran menyusu lagi-lagi bagi ibu yang bekerja. Sentiasa berdoa seiring dengan usaha. Insha Allah semoga Allah permudahkan. Aamin.
No comments:
Post a Comment